RSS

nEgOri sEmbiLan


Pantai Lagun Biru
 
Pantai Lagun Biru yang tenang dan tersembunyi ini terletak di kaki bukit di Tanjung Tuan (Cape Rachado). Pemandangan pinggiran tanjung yang berhutan tebal serta laut yang membiru di sini amat mempesona. Terdapat beberapa jenis burung yang menjadikan kawasan ini tempat tinggalnya termasuk burung helang sewah yang sering kelihatan terbang mengelilingi kawasan ini.
Yang paling utama, suasana tenteram di kawasan ini amat menenangkan untuk menjemput pelawat berehat dan bersantai. Di sini, pengunjung boleh berkhayal tanpa gangguan.
Laguna ini merupakan tempat yang sesuai untuk berenang, menaiki bot, berlungsur air atau sekadar berjemur di bawah sinar matahari.
 
Tips
Bawa bersama bekalan makanan untuk berkelah di pantai yang sunyi ini.
 
Pengangkutan Bas
Anda boleh menaiki bas dari stesen bas Terminal Satu Seremban menuju ke bandar Port Dickson, kemudian menaiki sebuah bas tempatan di mana pemandu boleh menurunkan anda di mana-mana tempat pilihan anda di sepanjang pantai tersebut. Perkhidmatan teksi juga boleh didapati dari pusat bandar.



Istana DiRaja Seri Menanti 





Istana DiRaja Seri Menanti terletak di bandar Sri Menanti, Negeri Sembilan. Istana yang diperbuat daripada kayu belian ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku, dan masih berdiri kukuh hingga ke hari ini. Dibina pada 1902, istana ini mempunyai ciri-ciri senibina Minangkabau yang unik. Warna hitam bangunan ini menjadikan ia kelihatan tersergam indah dari jauh. Bangunan setinggi 65 kaki ini, mempunyai 99 tiang kayu keras, dan ketinggiannya adalah 65 kaki. Pelbagai motif bunga turut diukur pada kayu belian yang digunakan untuk membuat istana ini.
Kini, istana yang dahulunya menjadi kediaman rasmi Raja telah dijadikan Museum DiRaja khas. Orang ramai boleh mengunjungi pameran yang terdapat di sini. Mereka yang ingin mengetahui lebih dekat tentang kehidupan keluarga DiRaja bolehlah datang ke sini. Terdapat pelbagai bahan pameran seperti senjata api, pakaian serta dokumen berkaitan keturunan DiRaja.
Tips
Masuk adalah percuma. Waktu buka: Setiap hari mulai 9.30 pagi hingga 6 petang, Jumaat: Tengahari - 2.50 petang. Hujung Minggu dan Cuti Umum: 9.30 pagi - 6 petang. Khamis (Mulai pukul 1 petang ke atas)



Jelita Ostrich Farm

Terkenal sebagai pusat riadah untuk seisi keluarga, Jelita Ostrich Show Farm di Jalan Jelebu bukan saja membiakkan burung berkenaan, malah menggunakan segala kelebihan yang ada pada haiwan itu.
Pengunjung tanpa mengira usia boleh mencuba pelbagai aktiviti, antaranya menunggang burung unta dan paling istimewa menonton perlumbaan burung berkenaan, dipercayai yang pertama di Asia. Kelajuan larian maksimum burung unta ini ialah 70 kilometer sejam. Para pengunjung akan diberikan sijil penyertaan selepas menyertai perlumbaan menunggang burung unta tersebut.
Tarikan yang terdapat di sini juga ialah, gerai menjual sate daging burung unta. Ladang ini juga mengeluarkan barangan serta produk yang berasaskan minyak burung unta. Antara produk-produk yang berjaya dihasilkan ialah seperti krim muka + vitamin E, losyen tangan dan badan, pencuci muka, sabun dan lain-lain produk.
Semua produk yang dikeluarkan adalah selepas kajian mendalam mengenai khasiat burung unta dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak 2000.

Tips
Pengunjung juga boleh membeli pelbagai cenderamata yang dihasilkan dari burung unta untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan di kedai cenderamata yang terdapat di sini.


Pengangkutan Kereta 
Lokasinya yang terletak di Jalan Seremban – Jelebu (Jalan Pantai) iaitu 10 kilometer dari Seremban dan 10 kilometer dari Pantai.
 


Port Dickson

Kawasan pesisiran pantai Port Dickson (PD) terkenal sebagai destinasi percutian hujung minggu. Ramai warga kota yang bertandang ke sini setiap ada kelapangan.
Bagi mereka yang tidak tahu, nama Port Dickson ini sebenarnya diambil sempena nama seorang pegawai British Sir Joh Frederik Dickson pada 1889.
Ada juga yang mengatakan nama itu sebenarnya adalah nama seorang pegawai British yang menjaga pelabuhan British yang mengendalikan timah di Lukut (daerah Port Dickson) pada satu ketika dahulu.
Port Dickson terkenal kerana kawasan pantai, yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Terdapat juga tempat penginapan bagi mereka yang ingin bercuti di sini.
Antara pantai yang terkenal di sini ialah Teluk Kemang dan Teluk Biru (Blue Lagoon), selain terdapat kemudahan untuk sukan air dan aktiviti pantai.
Tips
Mereka yang ingin ke pantai, jangan lupa untuk membawa barangan penting seperti losyen pelindung cahaya matahari, tuala, makanan dan jangan lupa untuk bergembira!

Pengangkutan Kereta
Ia hanya mengambil sejam lebih perjalanan dari Kuala Lumpur untuk ke Port Dickson melalui Lebuh Raya Utara- Selatan (PLUS).


Jeram Gading

Landskap indah hutan hujan tropika, sungai dan air terjun, berlatarbelakangkan gunung dan bukit di sebelah timur serta pantai berpasir putih di sebelah barat menggambarkan bentuk mukabumi Negeri Sembilan.
Topografi negeri ini agak berbukit kerana kedudukannya di hujung Banjaran Titiwangsa yang mengunjur dari utara Semenanjung Malaysia. Beberapa kawasan rekreasi telah dikenalpasti di sini termasuk yang paling utama - Taman Negara.
Nama tempat ini dipercayai berasal dari kehadiran sekumpulan gajah di kawasan ini - perkataan 'gading' itu merujuk kepada gading gajah.
Tarikan utama di Jeram Gading ialah air terjunnya yang mengalir menerusi pokok-pokok dan bongkah batu telah menghasilkan fenomena indah di kaki air terjun sebelum mengalir ketakungan air yang tenang.
Walaupun kawasan ini tidak sesuai untuk aktiviti berkayak namun ianya merupakan tempat yang sesuai untuk berkelah bersama keluarga.
Bermandi-manda dengan ahli keluarga anda di dalam air yang jernih dan sejuk serta nikmati bunyi air sungai yang sungguh menenangkan. Jeram Gading terletak 23 km dari Kuala Klawang di dalam daerah Kenaboi.
Jika anda memandu kereta ke sini, anda dapat melihat dusun buah-buahan di kiri-kanan jalan yang dimiliki oleh penduduk kampung berdekatan.


Rembau Crystal

Yayasan Negeri Sembilan telah menubuhkan sebuah tempat khas di Daerah Rembau sebagai kompleks perkampungan kristal terbesar di Malaysia. Ia dibuka pada 1 Disember, 2007.
Kompleks ini juga adalah sebuah pusat pelatihan, pembuatan serta pameran. Malah, struktur unik Galeri Rembau Crystal ini memuatkan ciri-ciri unik senibina Melayu Minangkabau.
Produk yang dibuat dan dijual di sini diperbuat dari kristal. Antara produk yang dibuat termasuk lampu meja, barang perhiasan kristal, pinggan mangkuk, aksesori dan banyak lagi. Produk kristal di sini diperbuat mengikut piawaian antarabangsa.
Perkampungan kristal ini juga menjadi pusat bagi remaja tempatan mempelajari cara-cara membuat kristal, selain membuka peluang untuk menjual hasil kraf tangan mereka. Ini turut menjadikan Rembau salah satu destinasi pelancongan terkenal di Malaysia.
Marilah berkunjung ke perkampungan kristal terbesar di Malaysia, dan berpeluang melihat sendiri produk kristal terbaik hasil penduduk tempatan!
Tips
Rembau Crystal beroperasi mulai 9 pagi hingga 5 petang (Isnin - Jumaat) dan 9 pagi hingga 4 petang (Sabtu - Ahad).

Pengangkutan Kereta
Dari Seremban, para pemandu boleh melalui jalan Rahang ke Senawang dan meneruskan perjalanan ke Rembau. Jarak dianggarkan adalah 27km.

Bas 

Dari Seremban, anda juga boleh (Pelancong boleh menaiki bas (Southern/Rembau Line) dari Perhentian Bas Seremban yang menuju Ke Rembau. Pelancong boleh menaiki bas dari hentian bas Puduraya atau menaiki Komuter dari Kuala Lumpur ke Stesen Seremban dan seterusnya menyambung perjalanan ke Rembau Crystal.

Kereta 

Dari Lebuhraya PLUS, destinasi boleh diakses melalui Lebuhraya PLUS di susur keluar Pedas/Linggi dari arah utara dan susur keluar Simpang Ampat dari arah Selatan.


Kompleks Kraf Negeri Sembilan 



Kompleks Kraf ini dibina bagi memelihara kekayaan budaya dan warisan masyarakat Negeri Sembilan. Hasil kraftangan yang halus ini turut dipamerkan dan dijual di kompleks ini.
Kompleks Kraf yang terletak di Jalan Dato Abdul Kadir, Seremban ini diuruskan oleh Perbadanan Kraftangan Negeri Sembilan turut menempatkan hasil kraftangan dari seluruh Negeri Sembilan.
Pembukaan cawangan keenam Karyaneka Kraf Boutique di kompleks tersebut turut menyumbang kepada kepelbagaian pilihan kraf Malaysia untuk jualan.
Tips
Kebanyakan kraftangan yang terdapat di sini dibuat di pusat inkubator dan latihan usahawan kraftangan Kuala Pilah.
   
Pengangkutan Kereta
Kompleks ini terletak di Jalan Dato Abdul Kadir, Seremban.

Bas
Anda juga boleh menaiki bas atau teksi dari stesen bas Terminal Satu di bandar Seremban.

 
Homestay Kampung Pelegong

Anda berpeluang ke kampung Melayu tradisional menerusi program Homestay Kampung Pelegong di Negeri Sembilan. Berkongsi juga keramahan dan kemesraan tuan rumah anda dan menjadi salah seorang ahli keluarga mereka sambil mengambil bahagian di dalam aktiviti harian mereka.
Mulakan pengalaman tulen hidup di kampung. Kedengaran bunyi ayam berkokok menyambut hari baru diwaktu subuh, nikmati udara segar yang nyaman dan bersedialah untuk mengalami saat-saat indah sepanjang lawatan anda di sini.
Kumpul sendiri telur dari reban ayam, belajar menoreh getah, nikmati air yang sejuk nyaman ketika mandi di sungai sebelum cuba memancing ikan atau menbuat kuih tradisional.
Pengalaman-pengalaman yang menanti anda di sini juga akan memberikan anda kefahaman mengenai asal-usul kampung serta kekayaan sejarahnya. Hargai industri-industri kecil daya usaha penduduk kampung yang rajin serta kehalusan barangan yang dihasilkan mereka.
Kagumi ketangkasan jari jemari Pak Adul penganyam tikar, juga lelaki dan wanita yang pakar menghasilkan kraftangan yang cantik-cantik belaka.
Jika anda gemarkan aktiviti luar, anda pasti suka berjalan mengikuti trek ke hutan hujan tebal berhampiran serta sungai jernih dan air terjun yang ada di situ.
Kemudian pulang ke perkampungan ini untuk menikmati urutan tradisional, lelaki mahupun wanita, bagi menghilangkan penat lelah.


Tips
Cara terbaik untuk menggunakan sepenuhnya masa anda di homestay ini ialah dengan mempelajari beberapa patah perkataan dialek mereka.

Pengangkutan Keretapi 
Jika anda tidak mahu memandu ke sini, anda juga boleh menaiki Komuter yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Seremban. Anda perlu turun di stesyen Tiroi. Kampung Pelegong terletak hanya 2 km dari Tiroi. Anda boleh meminta tuan rumah anda menjemput anda di stesyen Tiroi.

Kereta 

Kampong Pelegong dihubungi dengan rangkaian jalanraya yang baik. Kampung ini mudah dikunjungi di mana hanya 15 km dari bandar Seremban, 30 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan 55 km dari ibunegara, Kuala Lumpur.
 


 
Copyright ..s@ntaii.. 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .